Kupasan Pementasan: Kebaya Homies

Salam sejahtera, para pembaca setiaku!

Menghiburkan dan mengasyikkan. Begitulah suasana panggung Annexe di Esplanade apabila ia diambil alih oleh The Necessary Stage sempena M1 Singapore Fringe Festival tahun ini bagi pementasan KEBAYA HOMIES.

Sebelum melangkah masuk ke dalam panggung Annexe, sudah terasa seolah-olah anda ditarik balik ke zaman 60an. Kedengaran lagu P. Ramlee berkumandang di luar panggung menetapkan mood persembahan tulisan Haresh Sharma ini.

Apabila berada di dalam panggung itu, terasa bahawa diri ini telah memasuki mesin masa dan kini benar-benar berada di dalam sebuah Kelab Perempuan Joget. Rasanya seperti set Bunga Tanjong telah dihidupkan!

Bukan hanya terdapat kerusi di mana orang boleh berduduk dan menikmati persembahan malam itu. Malah, terdapat meja di mana orang boleh memesan minuman dan menonton persembahan ini secara santai. Dengan begini, panggung Kebaya Homies bukanlah sebuah panggung pementasan yang biasa tetapi benar-benar kelab perempuan joget di mana penonton boleh menari dan rasa terhibur seperti mana pelanggan kelab perempuan joget menikmati hiburan pada zaman dahulu.

Jika suasana Kebaya Homies memberi aura 60an, persembahan watak Rukiah dan Zubaidah pula mengajak penonton mengalir dalam masa. Tidak kiralah masa lampau ke, sekarang ke ataupun masa depan!

Gambar oleh Tuckys Photography

Secara peribadi, apa yang memberi kesan yang mendalam pada diri saya adalah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Siti K dan Aidli Mosbit dalam persembahan ini.

Walaupun saya tidak akan mendengar lagu-lagu 60-90an ini di Spotify saya secara sukarela, saya tidak dapat mengelak menyanyikan lagu-lagu ini kerana dengan tidak sengaja saya hafal lagu-lagu yang dinyanyikan.

Ini kerana, membesar di dalam suasana/rumah yang sangat Melayu, lagu-lagu ini merupakan lagu-lagu yang sering didengar di rumah apabila bapak anda yang minat 60an akan nyanyi semasa sesi karaoke. Ataupun, lagu yang pasti akan didengar di majlis perkahwinan!

Kebaya Homies telah mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak saya dan saya telah membesar sekali lagi dalam persembahan satu setengah jam itu.

Gambar oleh Tuckys Photography

Mendengar mereka menyanyikan lagu yang ikonik dengan dekad-dekad yang tertentu, saya tertanya-tanya… apakah lagu yang akan mereka mainkan apabila mereka ke zaman 2010s dan masa sekarang? Perasaan ghairah sangat nak dengar pilihan mereka, tapi kecewa sikit kot. Sebab diorang pilih lagu Inggeris untuk melambangkan zaman sekarang.

Mungkin pilihan itu simbolik dan bermakna, dalam memberitahu bahawa masyarakat Singapura Melayu kini lebih cenderung mendengar lagu Inggeris (BEYONCÉ) berbanding lagu Melayu. Tapi tak boleh dinafikan bahawa masa ini, dapat juga lagu Melayu yang viral, kan?

Persembahan arahan Alvin Tan ini juga mengupas isu-isu berkaitan wanita yang masih relevan hingga kini. Seumpamanya, isu tudung, penceraian, hak wanita dalam Islam dan sebagainya. Terdapat sketsa-sketsa karya Haresh Sharma seperti Rosnah dan macam lagi disuntik dalam Kebaya Homies. Dan jika anda seorang peminat TNS/Haresh, pasti anda dapat mengecam unsur-unsur ini dengan mudah!

Kededua Siti K dan Aidli Mosbit berjaya menghidupkan watak-watak wanita berbeza dari zaman yang berbeza. Dan menyampaikan mesej yang membuka perbincangan di ‘alternate universe’. Sebagai contoh, terdapat babak di mana perpisahan Singapura daripada Malaysia tidak pernah berlaku dan Malaya masih wujud. Budaya dan sejarah Melayu juga dikongsi dalam cerita ini. Dan juga arabisation of Malays yang… sepatutnya harus hapus by 2020. Period.

Gambar oleh Tuckys Photography

Di akhir persembahan, mereka mengundang Bapak-bapak Menari untuk menutup tirai. Itu merupakan antara highlight malam persembahan! Amat menarik sekali melihat ‘Dancing Daddies’ menari kerana pada minggu ini, Mak-mak Menari juga bakal membuat persembahan di Nafa!

Jika anda bakal menonton Kebaya Homies minggu ini, jangan lupa untuk bersantai dan menari bersama! Lupakan masalah/kerja anda seketika dan menikmati malam yang indah bersama Rukiah dan Zubaidah.

Bintang kegemilangan: 5⭐️/5

Jikalau TNS mementaskan Kebaya Homies sekali lagi… jangan lupa rebut tiket ni tau! Menyesal tak tengok! Ini antara pementasan Melayu yang tepat yang pernah saya tonton. The Malayness JUMPED OUT. Suria can only hope they have this kind of impact, but they can’t and will never. Saya pasti sesiapa yang menonton Kebaya Homies akan rasa bersyukur dan identiti mereka sebagai anak Melayu atau anak Singapura akan diperkukuhkan lagi!

– Pengkritik Sandiwara

Tinggalkan komen