Kupasan Pementasan: A Tiny Country

Salam sejahtera, para pembaca setiaku!

Jikalau selalunya kita menonton sebuah pementasan yang memerlukan penglibatan penonton, selalunya gitu-gitu je kan? Tak involved sangat.

Ataupun, ramai yang mengelak menonton pementasan sebegitu kerana ingin hanya duduk dan menikmati persembahan yang menarik.

Namun, salah satu pementasan M1 Singapore Fringe Festival 2020, melibatkan penonton dalam sketsanya yang akan menentukan jalan ceritanya.

A Tiny Country mengajak penonton untuk berfikir dan berdebat dalam menentukan jalan cerita Jo, selaku pembimbing atau ‘Game Guide’ dalam pementasan ala-ala sebuah permainan ini.

20 orang penonton dibelah bagi kepada empat kumpulan. Dan setiap kumpulan mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam jalan cerita ini. Seolah-olah dalam kem mahasiswa di mana setiap kumpulan ada warna, lambang, kekuatan dan kelemahan.

Gambar oleh André Chong

Dalam kisah Jo ini, dia cuba mengorek balik sejarah rumah biru usang yang pernah didiaminya satu ketika dahulu. Tetapi, Jo tidak ingat apa yang berlaku. Oleh itu, dengan pertolongan penonton, kami dapat menyumbang kepada sejarah yang bakal berlaku.

Cara permainannya seolah-olah mempunyai unsur Escape Room di mana anda boleh berbincang dengan rakan-rakan anda sebelum melakukan sesuatu, dan juga Monopoly di mana setiap tindakan mempunyai tindak balas.

Dalam kisah A Tiny Country ini, terdapat beberapa ‘persimpangan’ di mana setiap kumpulan boleh mengundi sama ada mereka inginkan pilihan A atau B.

Gambar oleh André Chong

Setiap kumpulan harus berbincang, memberitahu apakah pros dan cons setiap pilihan dan kemudian mengundi.

Cuma, nampaknya setiap kumpulan mengundi pilihan yang sama pada malam itu. Tiada faktor yang memecahbelahkan 4 kumpulan ini. Mungkin malam itu, setiap pemain/penonton bersifat diplomatik dan tidak ingin bergaduh? Atau situasi persimpangan tidak dapat membuat pemain/penonton mempunyai pemikiran yang berbeza.

Semasa ‘permainan’ in, saya menunggu-nunggu ketibaan musuh (yang dilambangkan dengan sebuah gerudi yang berdiri tegak nun jauh di sana) yang akan menyerang A Tiny Country ini. Mungkin dengan kemasukan orang asing, mungkin pemilihan dan undian akan lebih mencanak?

Gambar oleh André Chong

Walaubagaimanapun, melihat penglibatan penonton dalam pementasan ini merupakan sesuatu yang baru dan segar! Kami tertanya-tanya apakah kumpulan lain akan undi dan bagaimanakah situasinya sekiranya kami mengundi pilihan lain. Apakah kesimpulan cerita ini pada malam-malam yang lain?

Setentunya, setiap persembahan A Tiny Country itu unik dan amat menghiburkan! Ini kerana penonton dapat menjadi watak-watak yang mungkin tidak pernah kita dapat bayangkan dalam hidup kita. Boleh lah step sikit dan jadi macam budak kecik gitu!

Amat menarik sekali bahawa sejarah A Tiny Country bukan telah tertulis, seperti sejarah secara amnya, tetapi ditentukan dan ‘ditulis’ oleh penonton bersama. Seolah-olah kami diajak dalam mesin masa untuk mengubah dan mencorak garis masa yang baru!

Bintang keseronokan: 3.8⭐️/5

Pengkritik Sandiwara

Baca lagi!

Tinggalkan komen