Ulasan: It Takes All Kinds

Salam sejahtera, para pembaca setiaku!

Pada 2 Mac, sebelum konsert Tokti, saya sempat menonton pementasan bertajuk It Takes All Kinds oleh The Necessary Stage’s Theatre for Seniors.

Diarah oleh Serena Ho, pementasan ini membincangkan isu-isu mengenai keluarga dari perspektif generasi yang lebih berumur. Kita sudah biasa melihat drama-drama yang sering menunjukkan kesalahan anak apabila terjadinya masalah dan sebagainya, dan setiap kali, puncanya adalah anak dan anaklah dipersalahkan. Tetapi dalam pementasan yang dijayakan oleh warga emas ini telah menukar perspektif para penonton.

TNS_TFS_622

It Takes All Kinds telah berjaya mencetuskan persoalan-persoalan dekat di hati penonton. Seperti isu menyuruh anak-anak melakukan kegiatan yang tidak diminati mereka, mencuri masa kanak-kanak mereka dan meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi kepada mereka. Adakah ini kerana ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak atau sekadar ingin melihat impian yang tidak tercapai oleh ibu bapa sendiri diraih oleh anak-anak? Sehinggakan kita lupa untuk biarkan anak-anak kita meneroka minat dan pendirian mereka, serta harus diingati oleh pihak pemerintah bahawa kita harus menggalak kegagalan dalam diri mereka.

Perhubungan antara adik-beradik juga dibincangkan, dan isu ini amatlah relevan dalam masyarakat Melayu yang besar di mana jumlah adik-beradik boleh menjangkau lebih 10 orang! Walaupun begitu, adakah kesemua sepuluh anak akan menjaga seorang ibu atau ayah apabila mereka tua kelak? Bak kata pepatah, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu boleh jaga seorang ibu. Isu ini malangnya masih berlaku lagi di mana kita melihat adik-beradik bergaduh atas sebab ini sehinggakan putuskan tali perhubungan. Pada masa hadapan, semakin Singapura menjadi ageing society, nampaknya orang tua kita tidak mempunyai pilihan lain tetapi bergantung kepada satu-satunya anak yang mereka ada atau rumah orang-orang tua… Well, at least dah tak gaduh-gaduh lagi.., eh? RIP to all anak tunggal!

TNS_TFS_624

Warga emas yang sudah pun bersara sepertinya tidak mempunyai banyak kegiatan untuk mereka lakukan. Ini menyebabkan mereka rasa kesunyian, dan hanya harapkan lawatan dari anak dan cucu. Tetapi setelah anak dan cucu pulang ke rumah masing-masing, kehidupan mereka sunyi dan mungkin murung. Perhubungan antara suami isteri tidak lagi mesra seperti dahulu kala waktu muda-muda dahulu. Semakin renggang dan seorang diri walaupun duduk sebumbung. Adakah ini kerana cara orang Asia dibesarkan? Sentiasa konservatif dan tidak meluahkan perasaan cinta kita menerusi sentuhan fizikal seperti ciuman dan dakapan? Kita diajar untuk tidak meluahkan perasaan secara terbuka sehingga terbawa-bawa hingga ke tua, sayang sekali.

Secara keseluruhan, pementasan It Takes All Kinds ini amatlah menghiburkan dan tentu sekali amat lucu dan comel melihat warga emas berdansa dan tergedik-gedik di atas pentas. Pada masa yang sama, isu-isu penting juga ditimbulkan dan inilah membuat penonton rasa puas apabila menonton sebuah pementasan, terutama sekali daripada The Necessary Stage. Pasti ada pengajaran penting yang boleh dibawa balik dan kongsi bersama rakan-rakan dan keluarga.

 

TNS_TFS_627.jpg

Oh yes. Saya amat suka apabila para pelakon bertutur dalam bahasa dialek Cina dan Peranakan. Semoga lebih usaha akan dilakukan agar bahasa minoriti di Singapura terus kekal!

– Pengkritik Sandiwara

(Gambar-gambar oleh AndrŽ Chong)

Tinggalkan komen